Glitter Text GeneratorGlitter Text GeneratorGlitter Text GeneratorGlitter Text GeneratorGlitter Text GeneratorGlitter Text GeneratorGlitter Text GeneratorGlitter Text GeneratorGlitter Text GeneratorGlitter Text GeneratorGlitter Text GeneratorGlitter Text GeneratorGlitter Text GeneratorGlitter Text GeneratorGlitter Text GeneratorGlitter Text GeneratorGlitter Text GeneratorGlitter Text Generator

Wednesday 13 March 2013

Cerpen : Butakah Cinta?


Kau yakin ke dia yang terbaik untuk kau?”

Aisya memandang Widad disebelahnya. Dia bersimpati dengan sahabatnya itu tapi dia sendiri sudah tidak tahu bagaimana mahu memujuk lagi. Dia sendiri mengerti betapa sukarnya menepis cinta yang menghuni di hati.

“Ntahlah Aisya, tapi aku takut untuk kehilangan dia.”

“Ramai lagi lelaki lain dalam dunia ni Widad. Jangan buta dalam menilai cinta.”

“Cinta itu buta.”

“Cinta tak buta Widad, tapi manusia yang buta dalam menilai cinta. Allah campakkan rasa cinta, kasih sayang dalam hati manusia bukan untuk binasakan diri sendiri tapi Allah suruh manusia pandu cinta, kasih sayang tu mengikut acuan yang islam gariskan, bercintalah, berkasih-sayanglah berpandukan redha Allah, bukan berpandukan hawa nafsu.”

“Aku buntu Aisya, nilah kali pertama aku betul-betul jatuh cinta. Aku sayang dia. Aku cintakan dia sangat-sangat. Dia pun cakap dia sayangkan aku tapi kenapa dia buat aku macam ni?”

“Kalau dia betul-betul sayangkan kau, dia tak akan buat macam ni. Dari awal lagi dia akan bagitahu yang dia dah bertunang. Dia tak akan buat kau menaruh harapan macam ni.” Pujuk Aisya lagi.

“Tapi dia cakap, kalau dia terus-terang, dia bimbang aku akan tinggalkan dia.” Ujar Widad lemah.

“Widad, aku tahu susah nak tempuh semua ni. Aku sendiri pernah melaluinya. Memang sakit nak melupakan orang yang kita sayang tapi satu je aku nak suruh kau fikir, kau lebih rela derita terseksa hari ini atau kau lebih sanggup nak tanggung derita akan datang?”

Nur Aisya memang seorang sahabat yang baik, niatnya suci. Dia tidak mahu melihat sahabatnya terus hanyut dalam cinta terlarang yang tidak tahu apa kesudahannya. Tapi untuk menasihati Widad Awliya bukanlah mudah. Andai tersilap cara, samalah seperti mencurah air ke daun keladi.

“Dia nak poligami.” Jawab Widad tersekat-sekat.

“Hey, kau jangan jadi bodoh Widad sebab cinta yang ntah apa-apa ni. Kau ingat senang ke nak hidup bermadu ni? Aku geram betul dengan Ikmal tu. Dengan yang sana pun belum kahwin, ada hati nak pasang dua tiga.” Aisya cuba mengawal emosi marahnya, bimbang jika cakap kuat-kuat rakan-rakan lain pula mendengarnya.

Bas yang mereka naiki semakin jauh meninggalkan Universiti Malaya. Widad mengambil peluang untuk berbincang dengan Aisya soal hati dan perasaannya sepanjang perjalanan mereka ke Janda Baik untuk mengikuti perkhemahan yang dianjurkan oleh kursus Pengurusan Unit Beruniform. Widad tahu Aisya seorang sahabat yang memahami. Di awal perkenalan mereka sejak setahun yang lalu, Aisya telah banyak memberi nasihat dan semangat dalam semua hal.

“Semalam Dina, tunang Ikmal mesej aku. Dia marah-marah. Dia tuduh aku macam-macam, perampaslah apa lah. Dia merayu suruh aku lepaskan Ikmal. Lagi dua bulan diorang nak kahwin. Dia dah buat persiapan, dia cakap. Nanti cuti, Ikmal nak balik kampung, nak ajak dia pergi beli cincin kahwin.” Widad membuka cerita.
Sungguh Widad rasa bersalah terhadap Dina, tunang Ikmal tapi dalam masa yang sama dia tidak sanggup kehilangan Ikmal.

“Cuba kau andaikan kau berada di tempat Dina. Apa perasaan kau? 8 tahun kau menyulam cinta. Dah nak kahwin pun, tapi last-last semua kucar-kacir. Kau jangan fikir kepentingan kau je Widad. Beralahlah untuk kebahagiaan orang lain. Kalau dia sanggup buat tunang dia macam tu yang dah kenal 8 tahun, tak mustahil dia akan buat benda yang sama dekat kau.”

“Aku tak tahu Aisya. Kepala aku dah cukup berserabut. Dalam kelas pun aku tak boleh nak tumpu. Aku tension.” Luah Widad.

“Haa, kau tengok. Mana kebaikan dari semua ni? Aku pun tengok kau bukan Widad Awliya yang dulu lagi. Sekarang ni kau dah banyak termenung, senyap je. Kenapa kau nak hancurkan kebahagiaan hidup kau hanya kerana cinta seorang lelaki? Buka mata kau Widad, buka hati kau, belum tentu dia yang terbaik untuk kau. Ramai lagi lelaki lain.” Nasihat Aisya sambil menggosok bahu Widad.

“Kalau betul dia seorang yang baik, dia tak akan sentuh hati kau, dia tak akan sentuh hati wanita yang belum halal untuk dia. Takkan yang tu pun kau tak nampak? Kau selalu ke mesej dengan dia? Bergayut dengan dia?” Aisya menyambung apabila melihat Widad hanya diam membisu.

“Tiap masa mesej. Ni pun ada dia mesej tapi aku tak balas. Bergayut tu ada jugak tapi jarang-jarang.” Jawab Widad.

“Huhh. Kau tak rasa buang masa ke semua tu? Membazir je. Kau bukan tak pandai Widad. Kau boleh fikir baik buruknya. Kau tahu tak mesej, bergayut tu zina hati. Lama-lama boleh menggelapkan hati.” Ujar Aisya sambil mengeluh.

“Aku tahu tapi aku tak kuat Aisya. Kadang-kadang aku rasa sangat betapa bodohnya diri ni. Aku pernah tak balas mesej. Tapi tiga hari je bertahan. Aku tak boleh.”

“Kau boleh, kau kuat asalkan kau nak. Kalau kau nak berubah Allah akan tolong. Percayalah.”
Aisya melemparkan pandangannya ke luar tingkap bas. Hatinya kosong.

“Kenapa Allah uji aku dengan semua ni? Sedangkan, saat aku melangkah kaki aku kat UM, aku ada prinsip, aku tak nak bermain dengan cinta terlarang ni, aku nak kejar cinta Ilahi.” Kata Widad setelah kedua-duanya membisu.

“Allah menguji untuk melihat tahap keimanan hamba-Nya. Allah nak tengok sejauh mana pergantungan kita kepada-Nya. Beza kita sebagai manusia dengan binatang ialah akal Widad. Allah bagi kita akal untuk berfikir. Kalau kita tak guna anugerah Allah ni untuk berfikir samalah kita macam lembu kambing. Kau rasa kalaulah lembu, kambing tu Allah bagi akal, dia makan ke rumput tu hari-hari? Cuba kau fikirlah sepanjang kau bermain cinta dengan dia apa kebaikan kau dapat?” Aisya tidak berputus asa, niat hanya supaya Widad membuka matanya untuk melihat kebenaran.

“Aku tak tahu. Tapi setiap kali masuk je waktu solat, mesti dia mesej suruh solat. Dia selalu tegur kalau melambat-lambatkan solat.”

“Kau jangan jadi buta dengan semua tu. Dia hanya nak kaburkan mata kau. Kalau dia tak suruh, kau tak boleh solat awal-awal ke? kalau kau nak tunggu dia suruh, tak ada gunanya.” Widad hanya diam. Dia keliru.

“Bab hati ni memang susah nak jaga Widad, bukan kau je, orang lain pun sama tapi jangan mengalah. Kalau kau mengalah, kau biar nafsu kawal hati kau, siapa yang menang? Kau tahu tak, bila nafsu kawal diri kau, syaitan akan bersorak kerana kau tunduk padanya.” Aisya memandang ke arah Widad yang menyeka air matanya dengan hujung jari.

“ Menangislah Widad, menangislah kalau itu yang buat kau tenang. Widad, hati ini Allah bagi pinjam je dekat kita, kalau kita tak mampu nak jaga, serah kepada Allah biar Allah yang jaga. Kenapa kita nak kotorkan hati kita dengan cinta terlarang tu? Cinta yang tak halal di sisi Allah. Kau sanggup ke? Tak malu ke nak persembahkan hati yang Allah pinjam kat kau ni dalam keadaan kotor? Kalau kau sendiri bagi pinjam barang kau kat seseorang, lepas tu orang tu kembalikan dalam keadaan kotor, kau marah tak? Kau sedih tak? Begitu juga Allah. Kita sibuk nak jaga hati orang yang kita sayang, tapi kita tak pernah nak ambik tahu perihal pencipta kita. Kita sibuk kejar cinta manusia tapi kita lupa untuk mencintai Allah, sedangkan cinta manusia tak menjanjikan apa-apa tapi cinta Allah yang menjadi penaung kebahagiaan kita di akhirat kelak.”
“Aisya, kau tak bosan ke layan aku? Kau tak bosan ke nasihat aku?” Tanya Widad tiba-tiba.

“Widad, aku tak bosan untuk melihat sahabat aku bahagia. Aku rindu nak tengok Widad Awliya yang dulu. Yang sentiasa tersenyum, yang suka bercakap macam bertih jagung.” Balas Aisya sambil tersenyum.

“Widad, jangan biarkan masalah ni menjadi tembok penghalang dalam hati kau untuk kau terus melangkah ke depan. Kau kena bangkit, kau kena robohkan tembok tu supaya kau nampak jalan bahagia kat hadapan sana. Kalau kau terus macam ni, layan perasaan kau yang sedih tu, kau tak akan ke mana, sedangkan orang lain semakin mara ke hadapan, jangan sampai orang lain dah pegang pingat kejayaan tapi kau masih di takuk lama.” Nasihat Aisya bagaikan mutiara hikmah.

“Tapi macam mana Aisya? Aku keliru.” Soal Widad dalam sebak yang masih tersisa.

“Sibukkan diri kau. Kat UM tu banyak program-program yang boleh kau ikut. Ambillah peluang tu. Beri peluang untuk kau bahagia tanpa dia. Aku nak kau datang perkhemahan ni bukan semata-mata nak kutip markah exam tapi kau carilah mutiara yang Allah nak bagi kat kau yang tak ada pada diri sahabat-sahabat lain. Dah, sekarang aku tak nak kau nangis lagi. Mulakan hidup baru tanpa dia. Janji?” Balas Aisya. Dia melafazkan rasa syukur dalam hatinya apabila melihat Widad tersenyum.

“Widad, kau sedar tak nama kau tu cantik sangat maksudnya secantik tuannya. Widad Awliya, cinta kekasih. Kau belajar serahkan cinta kau kepada kekasih hati kau, kekasih yang tak akan pernah mengecewakan kau. Jadikan Allah dan Rasul sebagai kekasih hati. Isyaallah, kau tak akan mengharapkan cinta lain. Percayalah Widad, bila kita mengharapkan kepada manusia, meminta-minta kepada manusia, manusia akan bosan dan akan membenci kita tapi bila kita mengharapkan, meminta-minta dengan Allah, kita akan lebih dicintai Allah kerana Allah sayang dan kasih kepada orang yang mengharapkan pertolongannya.” Ujar Aisya lagi.

“Aku sayang kau Aisya. Kaulah sahabatku dunia akhirat. Sahabat sampai syurga.” Widad menyeka sisa-sisa air mata di pipinya.

“Aku pun sayang kau Widad.” Sambung Aisya.

‘Semoga kau kuat wahai sahabat. Semoga sinar bahagia tu ada untuk kau.’ Bisik hati Aisya.

Menangisi kehidupan yang payah samalah seperti menyesali catatan azali, cuba pasrahkan hati, mungkin kekuatan akan hadir sendiri. Hidup ini perlu diteruskan biarpun diri dihanyutkan arus kekecewaan kerana yang lepas seharusnya menjadi pengalaman, yang tersilap perlulah dijadikan pengajaran agar kesilapan yang sama tidak terus berulang.

“Aik, apa khabar ‘mesin’ hari ni?” Tegur Aisya apabila terpandang Widad yang berjalan meninggalkan Dewan Kuliah.

“Mesin?” Tanya Widad kepelikan.

“Mesin ni.” Jawab Aisya sambil meletakkan tangannya di dada Widad.

“Kenapa panggil mesin?” Tanya Widad lagi sambil menggarukan kepalanya yang tidak gatal.

“Sebab hati kita ni ibarat mesin, kalau mesin rosak, banyaklah kerja-kerja lain tergendala. Macam sebuah kilang, kalau mesin rosak, kerja-kerja lain tak dapat dijalankan. Samalah macam hati kita, kalau hati kita tak ok, macam mana nak buat kerja lain. Ibadat pun tak sempurna. Iya kan?” Terang Aisya panjang lebar. Dia tersenyum apabila melihat Widad mengangguk-angguk kepalanya tanda faham.

“Alhamdulillah, mesin baru je service. Lepas balik perkhemahan tu kan aku rasa lega sangat. Perasaan aku kat dia dah hilang. Ajaibkan?”

“Habis tu sekarang kau berhubung tak lagi dengan dia?”

“Tak, sejak balik perkhemahan tu aku dah tak mesej dia. Dia ada hantar mesej, call tapi aku tak layan. Rupa-rupanya kalau kita redha, mudah je kita nak lepas sesuatu tu walaupun suatu masa dulu ia pernah jadi kesayangan kita.”

“Tahu pun. Lepas ni jangan sedih-sedih lagi. Eh, jom duduk kat sana, ada meja kosong.” Aisya menarik tangan Widad supaya mengikutnya duduk memandangkan kelas Bahasa Arab dibatalkan.

“Tapi kan Aisya. Mesti dia benci aku kan?” Tanya Widad tiba-tiba.

“Biarkan dia. Jangan fikirkan tentang dia lagi. Kau buang nama Ikmal tu jauh-jauh dari hati kau. Kau kena yakin bahawa jodoh pertemuan, ajal maut tu percaturan Allah. Walau setinggi langit kau sayang dia, walau seluas lautan kau cinta dia tapi kalau Allah tak takdirkan jodoh kau dan dia, takkan bersama. Kau kena yakin, sebaik-baik perancangan tu perancangan Allah. Pegang baik-baik kalam Allah surah Al-baqarah ayat 216.”

“Baik ustazah hatiku. Kau tulis apa tu?” Widad memerhati Aisya yang khusyuk menulis.

“Jap.” Jawab Aisya sepatah.

Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui. Engkau mengetahui apa yang terbaik untukku. Aku yakin bahawa Engkau telah menciptakan setiap yang di bumi ini berpasang-pasangan begitu jua diriku.  Sesungguhnya, detik ini aku terlalu merindui pemilik tulang rusukku, sampaikanlah salam rinduku kepadanya kerana aku tahu dia juga sedang merinduiku. Engkau permudahkanlah segala urusannya baik urusan dunia mahupun akhirat dan Engkau jagalah iman di dadanya Ya Allah. Aku teramat meyintainya walaupun aku tidak tahu siapakah dia tapi aku yakin akan kewujudannya kerana aku tahu Engkau telah menetapkan jodohku bersamanya. Walau bukan di dunia, mungkin di akhirat sana, masa itu pasti akan tiba. Ya Allah, hanya kepada-Mu tempat untuk aku meluahkan rasa rindu dan cintaku kepadanya. Satukanlah hati kami beralunkan mahabbah rindu-Mu, beriramakan cinta-Mu dan berpaksikan tali keredhaan-Mu. Hanya kepada-Mu Ya Allah, aku letakkan kebergantungan. Amin’

Aisya menghulurkan kertas yang ditulis sesuatu tadi kepada Widad. Widad mengambilnya tanpa banyak soal lantas membacanya perlahan.

“Amalkan baca doa tu selepas solat. Insyaallah kau akan temui nikmat cinta insan melalui rahmat cinta ilahi. Aku yakin dan kau pun perlu yakin bahawa suatu hari nanti akan ada insan berhati mulia melamarmu menjadi permaisurinya. Sabar ye sayang. Anggaplah, yang itu Allah sengaja menemukan kamu dengan orang yang salah terlebih dahulu sebelum kau temui orang yang betul-betul mencintaimu, yang lebih menghargaimu.” Ujar Aisya lembut. Dia bahagia melihat perubahan widad. Widad sudah kembali ceria seperti dulu. Dia akui bahawa bahayanya cinta terlarang. Seorang yang lincah, yang aktif, yang ceria boleh bertukar menjadi seorang yang pendiam, murung hanya kerana kecewa dalam cinta.

“Terima Kasih Aisya. Kaulah sahabat aku. Bertuah aku dapat sahabat macam kau. Aku harap lepas ni kau tetap jadi ‘ustazah hati’ aku.” Widad lantas memeluk Aisya kerana terlalu gembira.

“Hari ni hari kau, akan datang kita tak tahu. Mungkin satu hari nanti, bila aku lemah kau pulak yang jadi kekuatan untuk aku. Tulah gunakan sahabat.” Balas Aisya sambil mecubit pipi Widad geram.

“Nah, ambik ni. Buku ni aku baru je beli. Banyak sangat mutiara-mutira berharga yang ada dalam buku ni. Aku hadiahkan untuk kau sebab aku tahu sekarang ni kau lebih memerlukannya.” Ujar Aisya sambil menghulurkan buku ‘ Di Mana DIA di Hatiku’ kepada Widad.

‘Ya Allah, kau peliharalah pesahabatan ini. Sesungguhnya aku teramat menyayangi sahabatku ini kerana-Mu’ Doa Widad di dalam hati.