“Kau yakin ke dia yang terbaik untuk kau?”
Aisya memandang Widad disebelahnya. Dia
bersimpati dengan sahabatnya itu tapi dia sendiri sudah tidak tahu bagaimana
mahu memujuk lagi. Dia sendiri mengerti betapa sukarnya menepis cinta yang
menghuni di hati.
“Ntahlah Aisya, tapi aku takut untuk kehilangan dia.”
“Ramai lagi lelaki lain dalam dunia ni Widad. Jangan
buta dalam menilai cinta.”
“Cinta itu buta.”
“Cinta tak buta Widad, tapi manusia yang buta dalam
menilai cinta. Allah campakkan rasa cinta, kasih sayang dalam hati manusia
bukan untuk binasakan diri sendiri tapi Allah suruh manusia pandu cinta, kasih
sayang tu mengikut acuan yang islam gariskan, bercintalah, berkasih-sayanglah
berpandukan redha Allah, bukan berpandukan hawa nafsu.”
“Aku buntu Aisya, nilah kali pertama aku betul-betul
jatuh cinta. Aku sayang dia. Aku cintakan dia sangat-sangat. Dia pun cakap dia
sayangkan aku tapi kenapa dia buat aku macam ni?”
“Kalau dia betul-betul sayangkan kau, dia tak akan
buat macam ni. Dari awal lagi dia akan bagitahu yang dia dah bertunang. Dia tak
akan buat kau menaruh harapan macam ni.” Pujuk Aisya lagi.
“Tapi dia cakap, kalau dia terus-terang, dia bimbang
aku akan tinggalkan dia.” Ujar Widad lemah.
“Widad, aku tahu susah nak tempuh semua ni. Aku
sendiri pernah melaluinya. Memang sakit nak melupakan orang yang kita sayang
tapi satu je aku nak suruh kau fikir, kau lebih rela derita terseksa hari ini
atau kau lebih sanggup nak tanggung derita akan datang?”
Nur Aisya memang seorang sahabat yang baik,
niatnya suci. Dia tidak mahu melihat sahabatnya terus hanyut dalam cinta
terlarang yang tidak tahu apa kesudahannya. Tapi untuk menasihati Widad Awliya
bukanlah mudah. Andai tersilap cara, samalah seperti mencurah air ke daun
keladi.
“Dia nak poligami.” Jawab Widad tersekat-sekat.
“Hey, kau jangan jadi bodoh Widad sebab cinta yang
ntah apa-apa ni. Kau ingat senang ke nak hidup bermadu ni? Aku geram betul
dengan Ikmal tu. Dengan yang sana pun belum kahwin, ada hati nak pasang dua
tiga.” Aisya cuba mengawal emosi marahnya, bimbang jika cakap kuat-kuat
rakan-rakan lain pula mendengarnya.
Bas yang mereka naiki semakin jauh
meninggalkan Universiti Malaya. Widad mengambil peluang untuk berbincang dengan
Aisya soal hati dan perasaannya sepanjang perjalanan mereka ke Janda Baik untuk
mengikuti perkhemahan yang dianjurkan oleh kursus Pengurusan Unit Beruniform.
Widad tahu Aisya seorang sahabat yang memahami. Di awal perkenalan mereka sejak
setahun yang lalu, Aisya telah banyak memberi nasihat dan semangat dalam semua
hal.
“Semalam Dina, tunang Ikmal mesej aku. Dia
marah-marah. Dia tuduh aku macam-macam, perampaslah apa lah. Dia merayu suruh
aku lepaskan Ikmal. Lagi dua bulan diorang nak kahwin. Dia dah buat persiapan,
dia cakap. Nanti cuti, Ikmal nak balik kampung, nak ajak dia pergi beli cincin
kahwin.” Widad membuka cerita.
Sungguh Widad rasa bersalah terhadap Dina,
tunang Ikmal tapi dalam masa yang sama dia tidak sanggup kehilangan Ikmal.
“Cuba kau andaikan kau berada di tempat Dina. Apa
perasaan kau? 8 tahun kau menyulam cinta. Dah nak kahwin pun, tapi last-last
semua kucar-kacir. Kau jangan fikir kepentingan kau je Widad. Beralahlah untuk
kebahagiaan orang lain. Kalau dia sanggup buat tunang dia macam tu yang dah
kenal 8 tahun, tak mustahil dia akan buat benda yang sama dekat kau.”
“Aku tak tahu Aisya. Kepala aku dah cukup berserabut.
Dalam kelas pun aku tak boleh nak tumpu. Aku tension.” Luah Widad.
“Haa, kau tengok. Mana kebaikan dari semua ni? Aku pun
tengok kau bukan Widad Awliya yang dulu lagi. Sekarang ni kau dah banyak termenung,
senyap je. Kenapa kau nak hancurkan kebahagiaan hidup kau hanya kerana cinta
seorang lelaki? Buka mata kau Widad, buka hati kau, belum tentu dia yang
terbaik untuk kau. Ramai lagi lelaki lain.” Nasihat Aisya sambil menggosok bahu
Widad.
“Kalau betul dia seorang yang baik, dia tak akan
sentuh hati kau, dia tak akan sentuh hati wanita yang belum halal untuk dia.
Takkan yang tu pun kau tak nampak? Kau selalu ke mesej dengan dia? Bergayut
dengan dia?” Aisya menyambung apabila melihat Widad hanya diam membisu.
“Tiap masa mesej. Ni pun ada dia mesej tapi aku tak
balas. Bergayut tu ada jugak tapi jarang-jarang.” Jawab Widad.
“Huhh. Kau tak rasa buang masa ke semua tu? Membazir
je. Kau bukan tak pandai Widad. Kau boleh fikir baik buruknya. Kau tahu tak
mesej, bergayut tu zina hati. Lama-lama boleh menggelapkan hati.” Ujar Aisya
sambil mengeluh.
“Aku tahu tapi aku tak kuat Aisya. Kadang-kadang aku
rasa sangat betapa bodohnya diri ni. Aku pernah tak balas mesej. Tapi tiga hari
je bertahan. Aku tak boleh.”
“Kau boleh, kau kuat asalkan kau nak. Kalau kau nak
berubah Allah akan tolong. Percayalah.”
Aisya melemparkan pandangannya ke luar tingkap bas.
Hatinya kosong.
“Kenapa Allah uji aku dengan semua ni? Sedangkan, saat
aku melangkah kaki aku kat UM, aku ada prinsip, aku tak nak bermain dengan
cinta terlarang ni, aku nak kejar cinta Ilahi.” Kata Widad setelah kedua-duanya
membisu.
“Allah menguji untuk melihat tahap keimanan hamba-Nya.
Allah nak tengok sejauh mana pergantungan kita kepada-Nya. Beza kita sebagai manusia
dengan binatang ialah akal Widad. Allah bagi kita akal untuk berfikir. Kalau
kita tak guna anugerah Allah ni untuk berfikir samalah kita macam lembu
kambing. Kau rasa kalaulah lembu, kambing tu Allah bagi akal, dia makan ke
rumput tu hari-hari? Cuba kau fikirlah sepanjang kau bermain cinta dengan dia
apa kebaikan kau dapat?” Aisya tidak berputus asa, niat hanya supaya Widad
membuka matanya untuk melihat kebenaran.
“Aku tak tahu. Tapi setiap kali masuk je waktu solat,
mesti dia mesej suruh solat. Dia selalu tegur kalau melambat-lambatkan solat.”
“Kau jangan jadi buta dengan semua tu. Dia hanya nak
kaburkan mata kau. Kalau dia tak suruh, kau tak boleh solat awal-awal ke? kalau
kau nak tunggu dia suruh, tak ada gunanya.” Widad hanya diam. Dia keliru.
“Bab hati ni memang susah nak jaga Widad, bukan kau
je, orang lain pun sama tapi jangan mengalah. Kalau kau mengalah, kau biar
nafsu kawal hati kau, siapa yang menang? Kau tahu tak, bila nafsu kawal diri
kau, syaitan akan bersorak kerana kau tunduk padanya.” Aisya memandang ke arah
Widad yang menyeka air matanya dengan hujung jari.
“ Menangislah Widad, menangislah kalau itu yang buat
kau tenang. Widad, hati ini Allah bagi pinjam je dekat kita, kalau kita tak
mampu nak jaga, serah kepada Allah biar Allah yang jaga. Kenapa kita nak
kotorkan hati kita dengan cinta terlarang tu? Cinta yang tak halal di sisi
Allah. Kau sanggup ke? Tak malu ke nak persembahkan hati yang Allah pinjam kat
kau ni dalam keadaan kotor? Kalau kau sendiri bagi pinjam barang kau kat
seseorang, lepas tu orang tu kembalikan dalam keadaan kotor, kau marah tak? Kau
sedih tak? Begitu juga Allah. Kita sibuk nak jaga hati orang yang kita sayang,
tapi kita tak pernah nak ambik tahu perihal pencipta kita. Kita sibuk kejar
cinta manusia tapi kita lupa untuk mencintai Allah, sedangkan cinta manusia tak
menjanjikan apa-apa tapi cinta Allah yang menjadi penaung kebahagiaan kita di
akhirat kelak.”
“Aisya, kau tak bosan ke layan aku? Kau tak bosan ke
nasihat aku?” Tanya Widad tiba-tiba.
“Widad, aku tak bosan untuk melihat sahabat aku
bahagia. Aku rindu nak tengok Widad Awliya yang dulu. Yang sentiasa tersenyum,
yang suka bercakap macam bertih jagung.” Balas Aisya sambil tersenyum.
“Widad, jangan biarkan masalah ni menjadi tembok
penghalang dalam hati kau untuk kau terus melangkah ke depan. Kau kena bangkit,
kau kena robohkan tembok tu supaya kau nampak jalan bahagia kat hadapan sana.
Kalau kau terus macam ni, layan perasaan kau yang sedih tu, kau tak akan ke
mana, sedangkan orang lain semakin mara ke hadapan, jangan sampai orang lain
dah pegang pingat kejayaan tapi kau masih di takuk lama.” Nasihat Aisya
bagaikan mutiara hikmah.
“Tapi macam mana Aisya? Aku keliru.” Soal Widad dalam
sebak yang masih tersisa.
“Sibukkan diri kau. Kat UM tu banyak program-program
yang boleh kau ikut. Ambillah peluang tu. Beri peluang untuk kau bahagia tanpa
dia. Aku nak kau datang perkhemahan ni bukan semata-mata nak kutip markah exam
tapi kau carilah mutiara yang Allah nak bagi kat kau yang tak ada pada diri
sahabat-sahabat lain. Dah, sekarang aku tak nak kau nangis lagi. Mulakan hidup
baru tanpa dia. Janji?” Balas Aisya. Dia melafazkan rasa syukur dalam hatinya
apabila melihat Widad tersenyum.
“Widad, kau sedar tak nama kau tu cantik sangat
maksudnya secantik tuannya. Widad Awliya, cinta kekasih. Kau belajar serahkan
cinta kau kepada kekasih hati kau, kekasih yang tak akan pernah mengecewakan
kau. Jadikan Allah dan Rasul sebagai kekasih hati. Isyaallah, kau tak akan
mengharapkan cinta lain. Percayalah Widad, bila kita mengharapkan kepada
manusia, meminta-minta kepada manusia, manusia akan bosan dan akan membenci
kita tapi bila kita mengharapkan, meminta-minta dengan Allah, kita akan lebih
dicintai Allah kerana Allah sayang dan kasih kepada orang yang mengharapkan
pertolongannya.” Ujar Aisya lagi.
“Aku sayang kau Aisya. Kaulah sahabatku dunia akhirat.
Sahabat sampai syurga.” Widad menyeka sisa-sisa air mata di pipinya.
“Aku pun sayang kau Widad.” Sambung Aisya.
‘Semoga kau kuat wahai sahabat. Semoga sinar bahagia
tu ada untuk kau.’ Bisik hati Aisya.
Menangisi kehidupan yang payah samalah seperti
menyesali catatan azali, cuba pasrahkan hati, mungkin kekuatan akan hadir
sendiri. Hidup ini perlu diteruskan biarpun diri dihanyutkan arus kekecewaan
kerana yang lepas seharusnya menjadi pengalaman, yang tersilap perlulah
dijadikan pengajaran agar kesilapan yang sama tidak terus berulang.
“Aik, apa khabar ‘mesin’ hari ni?” Tegur Aisya apabila
terpandang Widad yang berjalan meninggalkan Dewan Kuliah.
“Mesin?” Tanya Widad kepelikan.
“Mesin ni.” Jawab Aisya sambil meletakkan tangannya di
dada Widad.
“Kenapa panggil mesin?” Tanya Widad lagi sambil
menggarukan kepalanya yang tidak gatal.
“Sebab hati kita ni ibarat mesin, kalau mesin rosak,
banyaklah kerja-kerja lain tergendala. Macam sebuah kilang, kalau mesin rosak,
kerja-kerja lain tak dapat dijalankan. Samalah macam hati kita, kalau hati kita
tak ok, macam mana nak buat kerja lain. Ibadat pun tak sempurna. Iya kan?”
Terang Aisya panjang lebar. Dia tersenyum apabila melihat Widad mengangguk-angguk
kepalanya tanda faham.
“Alhamdulillah, mesin baru je service. Lepas balik
perkhemahan tu kan aku rasa lega sangat. Perasaan aku kat dia dah hilang.
Ajaibkan?”
“Habis tu sekarang kau berhubung tak lagi dengan dia?”
“Tak, sejak balik perkhemahan tu aku dah tak mesej
dia. Dia ada hantar mesej, call tapi aku tak layan. Rupa-rupanya kalau kita
redha, mudah je kita nak lepas sesuatu tu walaupun suatu masa dulu ia pernah
jadi kesayangan kita.”
“Tahu pun. Lepas ni jangan sedih-sedih lagi. Eh, jom
duduk kat sana, ada meja kosong.” Aisya menarik tangan Widad supaya mengikutnya
duduk memandangkan kelas Bahasa Arab dibatalkan.
“Tapi kan Aisya. Mesti dia benci aku kan?” Tanya Widad
tiba-tiba.
“Biarkan dia. Jangan fikirkan tentang dia lagi. Kau
buang nama Ikmal tu jauh-jauh dari hati kau. Kau kena yakin bahawa jodoh
pertemuan, ajal maut tu percaturan Allah. Walau setinggi langit kau sayang dia,
walau seluas lautan kau cinta dia tapi kalau Allah tak takdirkan jodoh kau dan
dia, takkan bersama. Kau kena yakin, sebaik-baik perancangan tu perancangan
Allah. Pegang baik-baik kalam Allah surah Al-baqarah ayat 216.”
“Baik ustazah hatiku. Kau tulis apa tu?” Widad
memerhati Aisya yang khusyuk menulis.
“Jap.” Jawab Aisya sepatah.
‘Ya Allah, sesungguhnya
Engkau Maha Mengetahui. Engkau mengetahui apa yang terbaik untukku. Aku yakin
bahawa Engkau telah menciptakan setiap yang di bumi ini berpasang-pasangan
begitu jua diriku. Sesungguhnya, detik
ini aku terlalu merindui pemilik tulang rusukku, sampaikanlah salam rinduku
kepadanya kerana aku tahu dia juga sedang merinduiku. Engkau permudahkanlah
segala urusannya baik urusan dunia mahupun akhirat dan Engkau jagalah iman di
dadanya Ya Allah. Aku teramat meyintainya walaupun aku tidak tahu siapakah dia
tapi aku yakin akan kewujudannya kerana aku tahu Engkau telah menetapkan
jodohku bersamanya. Walau bukan di dunia, mungkin di akhirat sana, masa itu
pasti akan tiba. Ya Allah, hanya kepada-Mu tempat untuk aku meluahkan rasa
rindu dan cintaku kepadanya. Satukanlah hati kami beralunkan mahabbah rindu-Mu,
beriramakan cinta-Mu dan berpaksikan tali keredhaan-Mu. Hanya kepada-Mu Ya
Allah, aku letakkan kebergantungan. Amin’
Aisya menghulurkan kertas yang ditulis sesuatu tadi
kepada Widad. Widad mengambilnya tanpa banyak soal lantas membacanya perlahan.
“Amalkan baca doa tu selepas solat. Insyaallah kau
akan temui nikmat cinta insan melalui rahmat cinta ilahi. Aku yakin dan kau pun
perlu yakin bahawa suatu hari nanti akan ada insan berhati mulia melamarmu
menjadi permaisurinya. Sabar ye sayang. Anggaplah, yang itu Allah sengaja
menemukan kamu dengan orang yang salah terlebih dahulu sebelum kau temui orang
yang betul-betul mencintaimu, yang lebih menghargaimu.” Ujar Aisya lembut. Dia
bahagia melihat perubahan widad. Widad sudah kembali ceria seperti dulu. Dia
akui bahawa bahayanya cinta terlarang. Seorang yang lincah, yang aktif, yang
ceria boleh bertukar menjadi seorang yang pendiam, murung hanya kerana kecewa
dalam cinta.
“Terima Kasih Aisya. Kaulah sahabat aku. Bertuah aku
dapat sahabat macam kau. Aku harap lepas ni kau tetap jadi ‘ustazah hati’ aku.”
Widad lantas memeluk Aisya kerana terlalu gembira.
“Hari ni hari kau, akan datang kita tak tahu. Mungkin
satu hari nanti, bila aku lemah kau pulak yang jadi kekuatan untuk aku. Tulah
gunakan sahabat.” Balas Aisya sambil mecubit pipi Widad geram.
“Nah, ambik ni. Buku ni aku baru je beli. Banyak
sangat mutiara-mutira berharga yang ada dalam buku ni. Aku hadiahkan untuk kau
sebab aku tahu sekarang ni kau lebih memerlukannya.” Ujar Aisya sambil
menghulurkan buku ‘ Di Mana DIA di Hatiku’ kepada Widad.
‘Ya Allah, kau peliharalah pesahabatan ini.
Sesungguhnya aku teramat menyayangi sahabatku ini kerana-Mu’ Doa Widad di dalam
hati.
No comments:
Post a Comment